You are currently viewing WARGA KBS SABAH PERLU SEDIA LAKSANA AGENDA, PROGRAM DIRANGKA KERAJAAN

WARGA KBS SABAH PERLU SEDIA LAKSANA AGENDA, PROGRAM DIRANGKA KERAJAAN

 

 

 

 

 

 

KOTA KINABALU, 07 Januari 2022 –   Warga kerja Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah perlu bersedia untuk meneruskan pelaksanaan agenda, program dan aktiviti utama yang dirangka oleh kerajaan.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, semua yang dirancang tetap diteruskan dengan berpandukan prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Katanya, ia adalah bagi memastikan kestabilan ekonomi, kelangsungan perniagaan, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Kita juga masih belum menang dan harus sentiasa berwaspada menghadapi sebarang perubahan SOP yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya juga mengingatkan agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat yang lebih fokus dan sempurna.

“Selain itu, membudayakan norma-norma baharu sepanjang masa dengan konsep kita jaga kita, ‘stay at home’, serta Kawalan Kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Sabah, disini kelmarin.

Ellron berkata, kesemua itu penting bagi memastikan tiada penularan jangkitan atau peningkatan kes COVID-19 lebih-lebih lagi dengan virus baru iaitu Omicron dalam kalangan warga Kementerian ini.

Sementara itu, Ellron berkata, dalam konteks organisasi, semestinya sebuah organisasi cemerlang sudah tentu kakitangannya turut mempunyai prestasi cemerlang dan berkualiti.

“Aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kecekapan dan nilai positif serta kepakaran yang dimiliki oleh kakitangan merupakan nilai aset yang tidak ternilai.

“Semuanya diperlukan demi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap Kelas Pertama,” katanya.

Dalam majlis itu, Ellron turut menyampaikan Sijil Penghargaan dan Wang Tunai sebanyak RM 1,000.00 kepada 12 orang Penerima APC, Sijil Penghargaan dan Wang Tunai sebanyak RM 500.00 kepada 21 orang Penerima Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan Sabah serta Sijil Penghargaan kepada 12 kakitangan kementerian yang telah bersara wajib pada tahun 2019, 2020 dan 2021.

 

Sumber : Sabah Media

 

mykbss
Author: mykbss