You are currently viewing UNDUK NGADAU SANDAKAN RANGKUL JUARA UNDUK NGADAU PESTA KAAMATAN 2022

UNDUK NGADAU SANDAKAN RANGKUL JUARA UNDUK NGADAU PESTA KAAMATAN 2022

PENAMPANG – Guru sekolah rendah Frenerietta Sobitun yang mewakili daerah Sandakan dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA) di sini malam ini.

Frenerietta, 25 tahun mengenakan pakaian suku kaum Dusun Labuk tampil anggun dan berjaya mengetepikan cabaran 43 peserta lain yang mewakili kawasan masing-masing dengan melayakkan diri sebagai antara tujuh peserta akhir.

Beliau berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai lebih RM120,000 yang disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah binti Datuk  R.M. Jasni, isteri kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah. Turut hadir  Datin Seri Julia Salang isteri kepada Ketua Menteri Sabah.

Tempat kedua dimenangi peserta dari daerah Papar, Esther Marius manakala tempat ketiga dimenangi oleh peserta dari daerah Ranau, Deedee Cassandra Dallius. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah bernilai lebih RM75,000 serta RM62,000. Wakil Penampang Carolyn Tony hanya menduduki tempat keempat manakala peserta dari Kiulu Allveanna Loimin memperolehi tempat kelima.

Pesta Kaamatan pada tahun ini bertemakan “Kaamatan Monunduon Do Winorun” disambut meriah di KDCA setelah 2 tahun dalam situasi Pandemik COVID-19. Pesta ini disambut sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang baik selepas musim menuai padi. Pertandingan Unduk Ngadau menjadi acara kemuncak yang menampilkan budaya serta tradisi rakyat berbilang latar belakang di Sabah.

Lazimnya, pemenang Unduk Ngadau akan diberi peranan dan tanggungjawab selepas memenangi pertandingan berkenaan. Mereka bakal menjadi menjadi duta dalam mempromosikan kekayaan alam semula jadi negeri disamping menjadi role model yang membawa semangat Huminodun untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya generasi muda.

Mereka bakal bekerjasama dengan kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program kemasyarakatan seperti kebajikan, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keluarga dan pembangunan infra di kampung khususnya di luar bandar.

Kredit Photo : TV Sabah & Viso. Co

Azley | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah