You are currently viewing SUKMA XX MSN 2022 : SABAH SASAR KUTIP 40 PINGAT EMAS

SUKMA XX MSN 2022 : SABAH SASAR KUTIP 40 PINGAT EMAS

KOTA KINABALU : Sabah mensasarkan untuk mengutip sekurang-kurangnya 40 pingat emas atau menduduki ‘Top 5’ pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 yang akan berlangsung di ibu negara bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dikutip berdasarkan kepada latihan gigih yang tidak pernah putus meskipun berdepan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Katanya, para atlet yang mewakili kontinjen Sabah kini berada pada landasan yang baik untuk mencipta sejarah di SUKMA.

“Syabas kepada Majlis Sukan Negara (MSN) Sabah kerana berjaya mengekalkan ‘momentum’ latihan yang baik sekalipun terpaksa mengharungi  prosedur standard operasi (SOP) sukan yang sangat ketat khusus pada awal tahun 2019 hingga bulan April tahun ini.

“Sebagaimana penyertaan di SUKMA-SUKMA sebelum ini, sasaran Sabah masih menumpukan usaha untuk merealisasikan impian memenangi 40 pingat emas dan berkedudukan antara lima atau ‘Top 5’ diantara negeri-negeri yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman penyertaan Kontinjen Sabah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah di sini hari ini.

Ellron berkata, rekod terbaik penyertaan Sabah ialah pada SUKMA Ke-19 di Perak pada tahun 2018 apabila berjaya membawa pulang 33 pingat emas, 27 pingat perak dan 46 pingat gangsa untuk menduduki tangga keenam dari jumlah 15 kontinjek mengambil bahagian.

Katanya, kejayaan Sabah di SUKMA Perak juga diserikan dengan kejayaan atlet memanah Eugenius Lo Foh Soon yang dikalungkan dengan Anugerah Olahragawan SUKMA 2018 selepas memenangi empat pingat Emas dan satu pingat Perak.

“Pada SUKMA kali ini, kontinjen Sabah akan menyertai kesemua 31 sukan yang dipertandingkan kecuali dua sukan pertunjukan iaitu Silambam dan Kabaddi.

“Dari jumlah sukan-sukan yang disertai itu, cabaran kontinjen Sabah akan diperkuatkan oleh 466 orang atlet dibantu oleh 156 orang pegawai dan jurulatih, melibatkan jumlah keseluruhan 622 orang,” katanya.

Menurutnya lagi, para atlet yang bertanding akan bertarung dalam 294 acara dari jumlah keseluruhan 426 acara yang dipertandingkan melibatkan penyertaan 69 peratus sahaja.

“Dari jumlah 466 orang atlet ini juga, seramai 182 atau 39 peratus atlet yang terpilih merupakan atlet-atlet yang berjaya dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah (SAGA) pada tahun 2019 di Keningau,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata, dedikasi tinggi termasuk sokongan padu dari semua persatuan, jurulatih, ibu bapa serta juga atlet membolehkan kontinjen Sabah mengharungi masa-masa mencabar dengan tabah dan selamat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah diatas berita baik tambahan peruntukan untuk membolehkan Kementerian Belia dan Sukan Sabah mempersiapkan kontinjen Sabah kali ini dengan keadaan lebih selesa.

“Tidak dilupakan juga terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam persiapan kontinjen Sabah kali ini termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lembaga Sukan Sabah (LSS), Jabatan Pelajaran Sabah (JPS) serta Anti-Doping Malaysia (ADAMAS),” katanya.

sUKMA edisi ke-20 akan berlangsung secara rasmi bermula 16 hingga 24 September depan di Kuala Lumpur.

 

Sabah Maju Jaya

Sumber : sabahmedia

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah