You are currently viewing SUKMA XX, MSN 2022 : SABAH KEKALKAN SASARAN 40 PINGAT EMAS

SUKMA XX, MSN 2022 : SABAH KEKALKAN SASARAN 40 PINGAT EMAS

KOTA KINABALU: Sabah mengekalkan sasaran 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-20 di Bukit Jalil, Majlis Sukan Negara Kuala Lumpur yang dijadualkan Β berlangsung bermula pada 29 September hingga 8 Oktober tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, Kontinjen Sabah akan menyertai 20 daripada 21 jenis sukan yang dipertandingkan.

Katanya antara acara yang akan disertai ialah sukan akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, tenpin bowling, wushu, angkat berat, Muay Thai, Ragbi, sepak takraw dan tinju. Hanya sukan menembak sahaja yang tidak akan disertai oleh kontinjen Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

SUKMA merupakan temasya sukan terbesar di Malaysia yang diadakan secara dwi-tahunan, namun pada tahun 2020, temasya tersebut telah dibatalkan kerana situasi pandemik Covid-19 yang melanda Negara tidak membenarkan penganjuran semua acara sukan secara besar-besaran.

Ellron yang juga bekas acara pecut negara berkata kementerian telah membuat beberapa perubahan polisi dalam Kecemerlangan Sukan di Sabah, termasuk tambahan elaun latihan pada atlet-atlet SUKMA dan PARA SUKMA.

Beliau berkata elaun latihan RM 300 akan diberikan kepada atlet yang sudah tiga kali wakil SUKMA dan RM 500 bagi atlet yang telah empat kali dan ke atas mewakili negeri Sabah ke temasya SUKMA.

Menurutnya kementerian juga sedang mengkaji kenaikan insentif peringkat negeri untuk pemenang pingat Emas, Perak dan Gangsa di kejohanan Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Sabah Maju Jaya

mykbss
Author: mykbss