PENAMPANG: Perayaan Pesta Kaamatan kembali meriah dengan penganjuran pertandingan dan pertunjukkan sukan tradisi selain beberapa persembahan kesenian, pameran dan Unduk Ngadau.
Sukan Tradisi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun 2022 telah diadakan di Pentas Terbuka Hongkod Koisaan KDCA. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Tuan Mansur Haji Asun.
Sukan tradisi pada tahun ini mendapat sambutan yang cukup meriah dengan penyertaan peserta yang mewakili daerah masing-masing dalam sukan pertandingan disamping kehadiran orang ramai yang datang untuk menyaksikan pertunjukkan sukan tradisi.
Sukan tradisi seperti tarik tali (migazat dukug) dan gusti lengan (mipulos) antara sukan yang dipertandingkan secara fizikal dan terbuka bagi penggemarnya.
Manakala sukan tradisi seperti melastik (momolositik), menjerat kerbau (monungkava kalabau), membujak (manandus), menyumpit (monopuk), memproses padi (tumutu) dan menyalakan api (mopiri) dipertontonkan sebagai sukan persembahan.
Meskipun dianjurkan dalam norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, namun acara ini berlangsung dengan lancar dan berjaya.
Pautan siaran langsung majlis perasmian : https://fb.watch/ddo43tYCXw/
Sabah Maju Jaya
Sumber : Sabah Media