You are currently viewing SUKAN SEA 2021 KE-31 DIBUKA SECARA RASMI

SUKAN SEA 2021 KE-31 DIBUKA SECARA RASMI

HANOI: Temasya Sukan SEA 2021 edisi ke-31 telah dibuka secara rasmi dalam suasana penuh gemilang dan meriah di Kompleks Sukan Nasional My Dinh, di sini sebentar tadi.

Bertemakan ‘For a Stronger Southeast Asia’, acara perasmian temasya dwi tahunan itu berlangsung dengan persembahan menarik seperti tarian bunga teratai, diikuti tarian lukisan kayu rakyat Dong Ho yang mencerminkan kesenian masyarakat tempatan.

Barisan Kontinjen negara yang diwakili 31 orang tampil unggul dalam perarakan memasuki acara perasmian dengan diketuai  Chef de Mission (CDM) Datuk Nur Azmi Ahmad diiringi pembawa Jalur Gemilang yang juga penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri  lengkap berpakaian busana puteri manakala Nur Azmi  memperagakan busana pendekar baju Melayu.

Pada temasya kali ini, kontinjen negara disertai  seramai 859 orang secara keseluruhan yang merangkumi 584 orang atlet, 217  orang pegawai dan 58 orang sekretariat. Kontinjen negara bakal tampil dengan persediaan yang cukup rapi dengan meletakkan sasaran meraih 36 pingat emas dalam 37 jenis sukan disertai.

Berdasarkan prestasi semasa selepas kali terakhir di Filipina 2019, 15 jenis sukan dijangka menjadi penyumbang kepada sasaran 36 emas itu dengan terjun dan olahraga dianggap lubuk dan penyumbang  utama negara.  Setakat semalam, Malaysia sudah meraih sembilan pingat emas, tiga perak dan enam gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, 10 emas, tujuh perak dan 10 gangsa manakala Indonesia di tempat ketiga dengan pungutan tiga emas dan empat perak.

Sabah Maju Jaya

Photo: BERNAMA

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah