You are currently viewing PESTA KAAMATAN PERKASA KEBUDAYAAN KDMR

PESTA KAAMATAN PERKASA KEBUDAYAAN KDMR

NABAWAN : Perayaan Pesta Kaamatan yang diadakan pada setiap tahun di negeri ini mampu memperkasa kebudayaan kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR). Masyarakat juga diseru agar terus memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata Pesta Kaamatan yang bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ amat relevan memandangkan alam semulajadi sememangnya sinonim dengan budaya dan adat resam kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR). Perayaan ini juga sekaligus dapat dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancongan di negeri ini.

“Penganjuran pertandingan seperti Unduk Ngadau, Sugandoi, Sukan Tradisi dan sebagainya pastinya akan dapat menarik minat dan hati pelancong.

“Namun, selain daripada acara pertandingan seperti ini, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi juga boleh menarik tumpuan pelancong ke negeri kita khususnya di daerah kecil kita Sook,” katanya.

Ellron berkata demikian pada Majlis Perasmian Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan pada Sabtu.

Ellron berkata, pihaknya berharap agar semua kaum KDMR dapat meneruskan nilai perpaduan dan toleransi antara satu sama yang lain.

Katanya, Pesta kaamatan ini tidak hanya disambut oleh kaum KDMR sahaja malah semua kaum yang lain juga turut merayakannya.

“Inilah keunikan yang wajar kita pertahankan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan antara kaum di Sabah,” katanya.

Menurutnya lagi, sambutan perayaan menuai padi yang amat berkait rapat dengan alam semulajadi ini merupakan satu pesta kebudayaan yang perlu diraikan dan dikekalkan.

“Oleh itu, keaslian akan keunikan budaya, tradisi dan etnik ini perlu dipelihara seterusnya tidak ditelan oleh arus pemodenan.

“Saya menyeru kepada golongan belia khususnya untuk sama-sama memahami erti sebenar perayaan Pesta Kaamatan bagi memastikan budaya kaum KDMR terus terpelihara.

“Selain itu, saya juga amat berharap generasi muda mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda kita. Anda adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang,” katanya.

Pautan video rangkuman :https://fb.watch/ddoAucFblG/

Sabah Maju Jaya

 

 

Sumber : Sabah Media

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah