You are currently viewing KBSS MAHU SEMUA ATLET SABAH IKUTI PROGRAM CARUMAN KWSP – ELLRON

KBSS MAHU SEMUA ATLET SABAH IKUTI PROGRAM CARUMAN KWSP – ELLRON

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah bertekad untuk memastikan semua atlet yang mewakili Sabah tidak tersisih dari program caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata program seumpama itu wajar disokong semua pihak kerana ia menyemai budaya menabung demi masa depan atlet.

“Saya berharap program ini mendapat sokongan padu daripada semua persatuan sukan serta atlet.

“Kementerian saya melalui Majlis Sukan Negeri Sabah akan melakukan yang terbaik demi masa hadapan anak-anak muda kita yang pernah bergelar atlet negeri Sabah,” katanya.

Ellron berkata demikian ketika berucap sempena taklimat Program KWSP dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.

Dalam majlis itu, taklimat disampaikan para pegawai KWSP yang diketuai oleh Ketua Cawangan Kota Kinabalu iaitu Encik Sabarudin @ Sabree bin Hassan.

“Kita sedia maklum atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat di temasya sukan berprestij seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia serta Olimpik terjaga kebajikan mereka, tetapi … bagaimana pula dengan mereka yang telah berusaha gigih, memerah segala keringat dan tenaga tetapi tidak mempunyai pencapaian atau bernasib baik?,” kata Ellron.

Menurutnya, terlalu ramai bekas-bekas atlet negeri ini yang terubang-ambing, tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai pendapatan tetap, apatah lagi mempunyai tempat tinggal yang selesa.

Katanya keadaan itu pastinya lebih teruk lagi bila mereka, bekas-bekas atlet tersebut memasuki usia persaraan nanti.

“Sekian lama, saya selaku bekas atlet negeri dan negara mengimpikan adanya usaha kearah sebegini, iaitu mewujudkan satu cara menabung untuk masa hadapan, walaupun jumlahnya mungkin sedikit, tetapi saya percaya boleh menjadi satu nilai yang sangat bermanfaat apabila seseorang atlet itu memasuki usia persaraan nanti,” katanya.

Oleh itu, Ellron berkata adalah menjadi tanggungjawab Kementerian dan juga Persatuan-Persatuan Sukan Negeri bertekad untuk membela dan menjaga kebajikan mereka melalui usaha seperti Program Kolaborasi KWSP.

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi keyakinan anak-anak muda serta juga ibu bapa untuk menerima `usaha penyertaan serius dalam sukan’ sebagai satu kelangsungan atau jaminan hidup, katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan program itu dapat direalisasikan, sekali gus menjadikan Sabah sebagai perintis atau negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif secara besar-besaran melibatkan semua atlet yang akan mewakili Sabah.

Sabah Maju Jaya

Pautan hebahan Facebook Kementerian Belia dan Sukan Sabah;

i. https://www.facebook.com/100064450969663/posts/350699847088378/?d=n

ii. https://www.facebook.com/100063954330065/posts/360511099424032/?d=n

 

 

Sumber rujukan : Jesselton Times

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah