You are currently viewing KBSS DIMINTA MENCUNGKIL LEBIH RAMAI BAKAT BAHARU DALAM SUKAN

KBSS DIMINTA MENCUNGKIL LEBIH RAMAI BAKAT BAHARU DALAM SUKAN

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) diminta untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan bagi memastikan ada atlet pelapis mewakili negeri ini pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan untuk mencari bakat baharu di seluruh Sabah.

“Kerajaan Sabah dalam Belanjawan 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuk prasarana dan fasiliti sukan di Sabah pada tahun ini.

“Kerajaan Sabah akan terus komited dalam memajukan sukan di wilayah ini kerana ramai atlet muda kita yang bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara.

“Ini termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara, Ben Leong dan terkini dua perenang negara seperti Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing.

“Kita juga ada atlet yang menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang; Jellson Jabilin (akuatik terjun), Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (memanah) dan Natahsya Soon (berbasikal).

“Program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga ke arah melakar nama Sabah di peringkat antarabangsa, selain melahirkan lebih ramai atlet muda di Sabah,” kata Hajiji.

“Justeru, saya meminta Kementerian mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan agar ia ada kesinambungan dan pelapis. Saya pasti ramai anak muda kita yang berbakat sama ada dalam olahraga, badminton, renang dan berbasikal yang boleh diketengahkan

Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena Temasya Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2021, di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Menteri menyampaikan replika cek insentif kemenangan berjumlah RM71,450 kepada 23 pemenang pingat termasuk dalam acara berpasukan yang mewakili kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet kerana telah menjadi wira negara atau rakyat yang terbaik daripada jumlah 32 juta penduduk Malaysia untuk mewakili negara ke temasya sukan berprestij peringkat Asia Tenggara itu.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian anda semua kerana telah membawa kejayaan kepada Sabah dan negara. Apa yang lebih membanggakan atlet kita telah membantu membawa pulamg empat pingat emas, empat perak dan 11 gangsa. Ini membuktikan bahawa anda telah menjadi atlet terbaik daripada kira-kira 681 juta penduduk di Asia Tenggara…Syabas!

“Saya berharap majlis pada hari ini menjadi pembakar semangat kepada semua atlet Sabah ini agar mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya, sambil menambah, sebahagian besar daripada 42 atlet dari Sabah ini masih layak mewakili wilayah ini ke Sukan Malaysia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September depan.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin; Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy; dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Tuan Mansur Hj. Asun.

Sabah  Maju Jaya

Sumber : Wartaoriental.com

 

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS
Author: Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Azley Dee | Bahagian Komunikasi Korporat | KBSS

Admin | Bahagian Komunikasi Korporat | Kementerian Belia dan Sukan Sabah