Andi (tengah) ketika membuat pelepasan peserta yang bertanding.

 

LAHAD DATU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) memberi jaminan untuk membantu dan menyokong aktiviti yang boleh menyumbang kepada pembangunan sukan di negeri ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata pihaknya menyambut baik semua bentuk aktiviti sukan yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri.

Katanya, melalui aktiviti sukan yang diceburi oleh semua masyarakat terutamanya belia dapat mengharumkan nama negeri Sabah.

“Justeru, KBSS bersedia membantu semua aktiviti sukan di negeri ini supaya boleh dikembangkan, sekali gus mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program International Enduro Palm Adventure Siri 2 bagi tahun 2022 yang dianjurkan oleh Kelab Motocross Bersatu Lahad Datu (KMBLD),” di sini baru-baru ini.

Menurutnya, KBSS mengalu-alukan program sukan seperti ini dan berharap akan ada penganjuran perlumbaan Motocross di Sabah.

“Saya difahamkan, program ini turut disertai dari pelumba negara Indonesia, selain luar daerah seperti Tawau, Kota Kinabalu, Tenom, Labuan, Papar, Labuan, Kota Marudu, Kundasang, Kinabatangan dan Felda Sahabat.

“Program permotoran yang bebentuk riadah ini secara langsung dapat memupuk peserta mengamalkan gaya hidup sihat serta semangat berpasukan tanpa mengira umur, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Katanya, penganjuran seperti ini juga dapat memberi ruang serta penglibatan yang aktif dalam aktiviti sukan permotoran kepada golongan belia.

“Saya menyeru kepada semua peserta supaya mengambil kesempatan ini untuk saling berkenalan dan membina jalinan kerjasama erat.

“Saya berharap program ini akan berjalan dengan meriah dan sempurna berlandaskan semangat kesukanan yang tulen,” katanya.

Suryady berkata, penganjuran ini juga adalah satu pengiktirafan di atas kemampuan serta kebolehan penganjur mengendalikan dan mengurus acara sukan yang bertaraf antarabangsa seperti ini.

“Syabas kepada KMBLD kerana berjaya menganjurkan program ini dan saya berharap kelab ini mampu mengangkat sukan permotoran di negeri Sabah,” katanya.

Sumber : Utusan Borneo