You are currently viewing 24 GRADUAN FELO SABAH SMJ TERIMA SURAT PELANTIKAN DARIPADA KM SABAH

24 GRADUAN FELO SABAH SMJ TERIMA SURAT PELANTIKAN DARIPADA KM SABAH

KOTA KINABALU – 24 graduan Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menerima surat pelantikan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu pagi ini.

Program Felo Sabah Maju Jaya ini merupakan satu inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan Sabah yang memfokuskan kelompok  belia IPTA/S sebagai usaha menyediakan aset “Future Leaders” dan “Talent Pool” kepada kepimpinan Sabah pada masa hadapan. Inisiatif ini selaras dengan teras kedua Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk melahirkan golongan belia kelas pertama dan disokong penuh oleh kerajaan negeri.

Inisiatif Felo SMJ diumumkan oleh Hajiji yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan.

Program ini juga menjadi platform kepada belia untuk berkhidmat dan menyumbangkan idea secara terus kepada ahli Jemaah Menteri. Selain itu, program ini turut memberikan pendedahan mengenai pengurusan dan sistem pentadbiran kerajaan negeri. Penglibatan belia dalam program ini memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan negeri secara holistik.

Selain itu, program ini dilaksanakan sebagai medium penanda aras kepada pembangunan belia di Sabah untuk merealisasikan kelompok belia yang berkemahiran tinggi sebagai peneraju kepimpinan dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri Sabah. Pelaksanaan program ini juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Majlis Belia Sabah (MBS).

Lebih 1000 permohonan Felo SMJ telah diterima melibatkan belia seluruh negeri Sabah. Setelah melalui tiga peringkat tapisan, hanya 24 orang yang telah terpilih sebagai barisan Felo Sabah Maju Jaya.

Kesemua 24 orang felo ini masing-masing akan ditempatkan di bawah 12 Kementerian kerajaan negeri Sabah selama 6 bulan tempoh perkhidmatan yang telah bermula sejak bulan Februari 2022 sehingga bulan Ogos 2022.

Sesi Induksi ‘Ready To Work’ (RTW) juga telah dilaksanakan sebagai pendedahan dan latihan awal mengenai budaya dan etika kerja profesional dalam organisasi kerajaan. Sesi ini dilaksanakan bagi membentuk karakter seorang bakal pemimpin yang mempunyai kemahiran dari segi komunikasi, personaliti yang sopan dan penulisan profesional.

Sabah Maju Jaya

­

mykbss
Author: mykbss